Berhubung video yang tular baru-baru ini menunjukkan sebuah Proton X90 dilihat mengalami kebakaran pada sebelah dalam kabin, Proton hari ini mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkenaan insiden tersebut.
Menurut Proton pihaknya telah mengambil maklum selepas video berkenaan tular di media-media sosial, dan unit yang terbakar berkenaan kini berada dalam simpanan syarikat automotif nasional tersebut. Buat masa sekarang Proton menyatakan siasatan teliti terhadapan insiden itu sedang dijalankan dan pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan punca kejadian.
Walau bagaimanapun, Proton menegaskan tiada sebarang insiden letupan dari bateri sistem hibrid ringan 48v yang dibekalkan pada X90 berkenaan.
“Kami memahami kebimbangan orang ramai dan memohon kerjasama untuk mengelak daripada terlibat dalam perbincangan spekulatif dan ingin menekankan bahawa siasatan masih diteruskan,” kata Proton dalam kenyataan itu.
“Di Proton, kualiti dan keselamatan produk adalah keutamaan kami dan oleh itu, kami ingin memberi keyakinan kepada pengguna semua model Proton bahawa kenderaan mereka dihasilkan untuk memenuhi piawaian tertinggi. Setiap unit akan menjalani pemeriksaan kualiti dan keselamatan yang ketat sebelum dihantar kepada pelanggan kami yang dihargai,” tambah Proton lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.