KTM di Eropah sedang membuka tempahan untuk 890 Adventure R Rally 2024, iaitu sebuah motosikal dual purpose yang dihasilkan dengan prestasi lebih tinggi, dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 700 unit untuk seluruh dunia. Harga yang ditetapkan adalah 22,990 euro (RM115,371) dan 39 pembeli bertuah akan berpeluang menyertai acara Ultimate KTM Desert Experience bersama penunggang professional.
Model ini mendapat inspirasi daripada jentera lumba factory KTM 450 Rally yang digunakan oleh Kevin Benavides, dengan suspensinya dinaik taraf kepada unit fork USD WP Xplor Pro 7548 di hadapan dan monoshock WP XPlor Pro 6746 di belakang, memberikan jarak gerak 270 mm.
Kemampuan meredah jalan lasak 890 Adventure R Rally dipertingkat dengan rim Excel yang terdiri daripada unit 21 x 2.15 di hadapan dan 18 x 4.00 di belakang. Sistem brek terdiri daripada angkup empat piston di hadapan dan dua piston di belakang, dengan Cornering ABS Bosch 9.3 MP diberikan secara standard (boleh ditutup.
Model ini digerakkan oleh enjin dua silinder selari 889 cc yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 105 hp dan tork 100 Nm. Dengan catatan berat tidak sampai 200 kg, KTM mendakwa, ini adalah jentera adventure paling berkemampuan untuk offroad di dalam pasaran.
Kelengkapan lain yang diberikan terus dengan motosikal ini adalah termasuk sistem ekzos Akrapovic, tempat duduk dan peletak kaki Rally, pelindung enjin, radiator, pam brek belakang dan suspensi belakang, sprocket Supersprox, grafik khas serta tangki bahan api 20 liter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.